Kejadian Serang Hendap Serang_Hendap_Di_Sungai_Semur

Pada 25 Mac 1950, jam 09.15 pagi, anggota Platun 12 bersiap sedia untuk pulang ke kem mereka. Leftenan Hassan memberitahu Sarjan Wan Yaacob bahawa mereka akan pulang ke Pulai. Namun, pekerja-pekerja Cina masih belum selesai dengan kerja-kerja mereka. Jadi, Leftenan Hassan mengarahkan Sarjan Wan Yaacob supaya berada di lokasi dan membawa anggota platunnya untuk pulang ke markas. Mereka menyusuri air Sungai Semur hingga jam 10.30 pagi dan melewati kawasan berbukit. Namun dengan secara tiba-tiba, Platun 12 diserang hendap oleh sekumpulan pengganas komunis berkekuatan seramai 40 orang dari arah bukit di seberang sungai.[2]Ekoran serangan tersebut, anggota platun dengan segera mencari perlindungan sambil memberi tembakan balas. Semasa pertempuran itu, Leftenan Muda Hassan gugur bersama anggota yang lain. Sejurus gugurnya Leftenan Muda Hassan, Koperal Jamaluddin Muhamad mengambil alih tugas mengetuai platun terbabit.[3] Beliau mengarahkan tembakan mortar 2 inci ke arah musuh, namun tembakan mortar sedikit tersasar ke pohon buluh. Selepas melepaskan dua butir peluru mortar, anggota seksyen mortar berkenaan terbunuh.

Semasa pertempuran, beberapa pengganas menghampiri anggota platun yang terbunuh dan tercedera kerana mahu mengambil senjata tetapi cubaan mereka dipatahkan. Prebet Abdul Wahab Hamid pula menembak mati empat orang musuh yang cuba menyerang platun tersebut dari arah belakang. Selepas bertempur selama empat jam, Platun 12 terkepung dan hampir kehabisan peluru.

Apabila diminta menyerah diri, Korperal Jamaluddin menjawab, “Kami bukan pengecut, kami askar, kami tidak akan serah diri”